Dalam penulisan blog, terdapat beberapa etika yang perlu dipatuhi oleh penulis. Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2014), terdapat 10 cara penulisan blog yang baik.
1. Tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca.
Tajuk penulisan blog perlulah menarik agar pembaca tertarik untuk membacanya. Sekiranya tajuk blog yang diberikan kurang menarik, sudah pasti pembaca berpendapat bahawa penulisan tersebut membosankan. Hal ini demikian kerana, tajuk blog memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan sesebuah penulisan tersebut dipilih sebagai bahan bacaan oleh pembaca.
2. Cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca.
Penulisan blog juga mementingkan penceritaan yang menarik. Cerita menarik sudah semestinya akan membuatkan pembaca ingin membaca lebih banyak lagi penulisan yang dihasilkan dalam blog yang sama. Oleh itu, penulis harus bijak dalam memastikan cerita yang ditulis bukan sekadar sebuah penulisan yang tidak berfaedah atau tidak mampu menarik minat pembaca agar blog tersebut sering dikunjungi oleh penggemarnya.
3. Masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik.
Penulisan s blog tidak semestinya harus ditulis menggunakan gaya penulisan akademik semata-mata namun begitu, dalam menjadikan sesebuah penulisan itu lebih menarik minat pembaca untuk membacanya, penulis harus bijak untuk memasukkan unsur jenaka serta hiburan. Hal ini demikian kerana, penulisan dalam blog sudah pasti akan dibaca oleh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Kriteria ini sudah pasti dapat menjadikan sesebuah penulisan tersebut disukai oleh pembaca.
4. Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda.
Sekiranya seseorang penulis menulis sebuah artikel sama ada berbentuk fakta ataupun situasi semasa yang berlaku, penulis harus memastikan bahawa penulisan yang dihasilkan itu turut mempunyai hujah serta bukti terbaik dalam menyokong setiap ayat yang ditulis. Hal ini dapat membantu pembaca untuk lebih memahami hal yang ingin disampaikan oleh penulis dalam blog yang dihasilkan.
5. Kaitkan penulisan anda dengan berita terkini.
Apabila seseorang penulis menulis artikel dalam blog, penulis tersebut boleh mengaitkan berita-berita terkini yang berlaku di sekelilingnya atau yang tersiar di kaca televisyen mahupun di dada-dada akhbar. Hal ini dapat memberikan informasi tambahan kepada pembaca melalui medium penulisan di dalam blog. Penulisan dalam blog tersebut juga akan menjadi lebih bermanfaat kepada pembaca.
6. Gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas.
Penulisan blog yang baik haruslah menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas. Hal ini demikian kerana, penggunaan perkataan dan struktur ayat yang kompleks pastinya akan menyukarkan pembaca untuk memahami maksud sebenar penulis terutamanya bagi pembaca yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah serta membuatkan penulisan tersebut tidak menarik untuk dibaca.
7. Dapat dibaca dan difahami.
Dalam penulisan blog, penulis juga wajar memastikan penulisan yang dihasilkan itu boleh dibaca dan difahami dengan baik oleh pembaca. Hal ini demikian kerana, penulisan yang sukar dibaca seperti penggunaan ayat yang tidak tersusun serta tatabahasa yang tidak dipatuhi akan membuatkan mutu penulisan akan berkurangan serta tidak menjadi pilihan pembaca.
8. Dapat berkomunikasi dengan pembaca.
Sebuah penulisan dalam blog yang bermanfaat adalah penulisan yang mampu mencipta satu ikatan antara penulis dan pembaca walaupun hal tersebut melalui sebuah penceritaan. Oleh itu, penulis haruslah memastikan penulisan yang dihasilkan dapat membuatkan penulis dan pembaca dapat berkomunikasi melalui komen atau respon yang baik daripada pembaca setelah membacanya.
9. Masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda.
Penulis haruslah menulis sebuah karya yang mampu memberi kesan positif kepada pembaca. Hal ini dapat dilakukan melalui penulisan bermanfaat yang menggunakan kata-kata yang baik serta mempunyai nilai estetika seperti penggunaan peribahasa atau metafora dalam penulisan. Hal ini sudah pasti dapat menjana pengetahuan pembaca.
10. Berilmu untuk penulisan pendidikan.
Sekiranya penulis menghasilkan penulisan yang bersifat ilmiah, penulis haruslah memastikan penulisan tersebut mempunyai ciri-ciri pendidikan agar matlamat penyebaran pendidikan dapat dicapai. Sekiranya penulisan pendidikan tersebut dicemari dengan kata-kata kesat misalnya, sudah pasti hal tersebut akan menjejaskan kualiti serta mutu sesebuah penulisan akademik serta memberikan impak yang negatif kepada pembacanya.
Dalam hal ini, saya telah memuat naik penulisan mengenai etika peulisan blog ini ke dalam instagram. Ilmu ini boleh dibaca oleh pengguna instagram yang mengikuti akaun saya. Sekian.