Monday, 7 October 2019

BBM3410Satu2019: Ulasan Bab 6 Blog Di Dalam Kelas Bahasa


ULASAN BLOG DALAM KELAS BAHASA

Bab ini membincangkan penggunaan blog yang mampu memberikan pelbagai faedah. Menurut Noraien Mansor dan Normaliza Abd Rahim (2017) cabaran besar dihadapi oleh para pelajar bahasa kedua apabila mereka perlu membaca bahan dalam internet dalam mendapatkan maklumat yang baru. Hal ini sangat berkait rapat dengan penggunaan blog. Blog adalah satu medium perbincangan bertulis yang berbentuk formal atau tidak formal (Normaliza Abd Rahim, 2014). Terdapat pelbagai kegunaan blog seperti medium perniagaan, digunakan sebagai jurnal atau sebagai medium perkongsian ilmu pengetahuan yang dapat menghubungkan pelbagai pihak.

Selain itu, pelbagai kajian yang telah dilakukan mendapati bahawa, blog dapat meningkatkan kualiti penulisan seseorang, penyusunan maklumat atau idea yang lebih teratur, mewujudkan komunikasi dua hala dan menjadikan seseorang itu lebih bertanggungjawab terhadap sesuatu penulisan yang dihasilkan. Walaupun terdapat banyak blog yang menggunakan bahasa dan susunan ayat yang kurang sempurna, namun begitu, penggunaan blog juga mampu meningkatkan keyakinan diri, kreativiti, pemilikian dan pembangunan. Terdapat perbezaan penggunaan bahasa antara lelaki dan perempuan dalam blog seperti yang dinyatakan oleh Zaini Amir et. al (2012). Perbezaan tersebut dapat dilihat melalui lima ciri bahasa iaitu unsur kesangatan, unsur penegasan, penambahan soalan, kata sifat ‘kosong’ dan kata keterangan. Akmaliah Abdul Rahim (2009) pula menyatakan bahawa perempuan lebih suka menulis blog berbanding lelaki.

Dalam pada itu, Normaliza Abd Rahim (2014) telah menggaris 10 cara menulis blog dengan baik iaitu tajuk dan cerita yang menarik yang boleh menarik perhatian serta hati pembaca, penggunaan unsur humour, penggunaan hujah terbaik dalam menyokong huraian, berkaitan dengan isu semasa, penggunaan perkataan dan struktur ayat yang ringkas, mudah dibaca serta difahami, mempunyai moral serta nilai estetika dan berilmu bagi penulisan pendidikan. Oleh itu, satu kajian blog terhadap 60 orang  pelajar Korea lelaki dan perempuan dari enam kelas bahasa Melayu telah dijalankan oleh Noraien Mansor dan Normaliza Abd Rahim (2017). Para pelajar ini mempunyai pengalaman dalam menulis blog.

Dapatan kajian mendapati bahawa, blog mampu memberikan kesan yang baik kepada para pelajar dalam pelbagai aspek. Dalam aspek kesusasteraan, para pelajar cenderung memilih salah satu bentuk kesusasteran yang mereka sukai seperti puisi, cerpen, skrip drama dan pantun. Setiap jenis penulisan ini berkait rapat dengan tujuan penulisan para pelajar dalam blog. Pembelajaran bahasa juga dapat berlaku melalui penulisan surat, luahan perasaan dan pemikiran kritis daripada blog. Para pelajar juga dapat mempelajari kegunaan dan variasi teknologi kini dengan cara memasukkan audio, video dan gambar  dalam blog mereka. Secara kesimpulannya, penggunaan blog mampu membantu pelajar-pelajar Korea dalam mempelajari kesusasteraan, bahasa dan teknologi di samping meningkatkan motivasi serta keyakinan diri mereka untuk menulis.

No comments:

Post a Comment

BBM3410SATU: VLOG MAKANAN

Assalamualaikum semua. Aku nak cerita sikit mengenai kisah aku, Fatin dengan Qama pegi buat vlog makanan dekat Restoran Khadijah, Sri Serdan...